Dengan tidak segan silu, Artikel nie aku copy paste 100% ....
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
Semasa Islam datang menyinari dunia kegelapan masyarakat Jahiliyyah di tanah Arab, amat banyak amalan-amalan jahiliyyah yang dikikis oleh baginda Nabi s.a.w. Bermula dari upacara syirik yang besar, amalan seharian sehinggalah kepada sekecil-kecil perkara melibatkan cara bergurau dan sebagainya.
Namun demikian, TIDAK semua amalan Jahiliyyah ini dibuang terus, sebaliknya sebahagian amalan Jahiliyyah diterima oleh Islam namun dengan modifikasi, sebagai contoh sistem perhambaan, sistem peperangan, penggunaan wang emas dan perak sebagai matawang, sistem ‘Aqilah dalam kes bunuh, sistem qur'ah (cabut undi), jualan muzayadah (lelong) dan banyak lagi.
Semua yang disebut di atas diterima pakai oleh Islam tetapi beberapa restriction dan pindaan telah dilakukan oleh baginda nabi agar ia selari dengan kehendak Islam. Pada masa yang sama ia juga tidak terlalu asing dan selesa dilaksanakan oleh manusia seluruhnya.
Pada masa yang sama, banyak juga amalan jahiliyyah yang dibuang terus dan digantikan dengan satu sistem baru yang murni lagi adil, adakalanya ia disebut sebagai alternatif oleh masyarakat ramai. Namun perlu diingat tidak semua perkara haram yang dilakukan oleh masyarakat Jahiliyyah silam dan moden, terdapat alternatifnya oleh Islam[1].
Dari senarai panjang, amalan jahiliyyah yang diharam terus dan disediakan alternatif adalah adalah riba jahiliyyah.
DEFINISI RIBA AL-JAHILIYYAH
Menurut definisinya Riba Jahiliyyah adalah sebarang manfaat atau kadar tambahan yang lebih daripada jumlah pinjaman pokok yang dikenakan ke atas peminjam akibat kegagalan membayar jumlah pinjaman yang ditetapkan di dalam tempoh yang dipersetujui.
Hasil dari kelewatan itu pemberi pinjaman memberikan kata dua iaitu menlangsaikan hutang sertamerta atau satu kadar bunga akan dikenakan bagi memanjangkan tempoh pembayaran semula. Kadar bunga itu boleh dianggap sebagai denda.
Riba jenis ini amat popular di zaman Jahiliyyah dan berterusan di zaman Nabi sehinggalah diharamkan oleh baginda Nabi s.a.w di ketika haji wida' dimana nabi berkata :
إلا إن كل ربا موضوع وإن أول ربا أضعه ربا عباس بن عبدالمطلب فإنه موضوع كله
Ertinya : Ketahuilah, semua jenis riba telah dihancurkan, dan riba yang pertama aku hancurkan adalah riba yang Bapa saudaraku Abbas bin Abd Muttalib, semuanya kini telah dihancurkan. (Riwayat Ibn Hibban, At-Tirmizi)[2]
Ayat popular yang digunakan oleh masyarakat Jahiliiyah setiap kali sampai tempoh langsaian hutang adalah :-
إمّا أنْ تَقْضِي وَإمَّا أنْ تُرْبيَ
Ertinya : Sama ada kamu langsaikan hutang atau ia akan bertambah (dan diberi tangguh)[3]
Contoh semasa Riba Al-Jahiliyyah adalah :-
· Apabila pelanggan gagal membayar hutangnya kepada bank atau pemberi pinjam pada bulan tertentu seperti tiga bulan berturut-turut, pelanggan dikenakan denda penalti sebanyak 3 % dari jumlah hutang berbakinya, ia adalah Riba Al-Jahiliyyah.
· Apabila peminjam buku di perpustakaan gagal memulangkan buku pada waktunya, pihak perpustakaan mengenakan denda RM5 setiap hari yang lewat, ini juga satu bentuk riba. Justeru, jangan sesekali lewat memulangkan buku sehingga dikenakan denda riba. Undang-undang ini turut digunakan oleh hampir seluruh perpustakaan di seluruh dunia termasuk di university-universiti Islam menunjukkan kekurangan peka di dalam bab hukum.
· Bagi mereka yang dikenakan saman atas kesalahan meletak kenderaan di tempat yang salah, atau lain-lain kesalahan memandu, pihak pemandu diberikan nilai saman mengiktu minggu. Contohnya, jika dibayar dalam tempoh 14 hari, nilai saman adalah RM15, jika melebihi 30 hari, nilai saman naik kepada RM40 dan seterusnya. Semua cara kiraan ini tergolong di dalam riba Al-Jahiliyyah.
Mungkin akan ada pihak yang keliru dan mempersoalkan cara sesuai untuk mengelakkan peminjam melewatkan pembayaran dan pemulangan buku.
Topik ini telah dibincangkan panjang lebar oleh para ulama sedunia, dan pandangan yang disepakati oleh majority ulama sedunia hukuman yang dikenakan bagi pesalah yang sengaja melewatkan pemulangan dan segala jenis hukuman tidak ditentukan dalam bentuk matawang tetapi lain-lain bentuk seperti didenda tidak boleh memasuki perpustakaan selama dua bulan, atau dirampas passport, di senarai hitam dan sebagainya.
Jika ia melibatkan denda dalam bentuk wang, terdapat beberapa ijtihad di kalangan ulama semasa yang akan disebutkan di bawah.
BAGAIMANA DENGAN PRAKTIS DI BANK ISLAM ?
Dalam praktis perbankan Islam mereka turut mengenakan sejumlah wang sebagai gantirugi atau seperti denda, jumlah ini sebenarnya dianggap sebagai bayaran kos rugi (ta'widh atau compensation) yang dihadapi oleh bank akibat pelanggan tidak membayar hutangnya kepada bank dalam waktu yang telah dijanjikan. Pembaca perlu membezakan bayaran ganti rugi yang dikenakan oleh bank-bank Islam dengan penalti oleh bank konvensional.
Ganti rugi atau compensation yang dikenakan oleh bank Islam adalah terhasil daripada proses jual beli dengan bayaran ansuran yang dijanjikan pada waktunya. Manakala penalti bank konvensional adalah hasil daripada kontrak pinjaman semata-mata.
Menurut sebahagian ulama seperti Syeikh Mustafa Az-Zarqa, Syeikh Muhammad Sadiq Ad-Dharir, Sheikh Abdullah Bin Mani', Majlis Penasihat Syariah Bank Islam Jordan, dan Fatwa Persidangan dallah Al-Barakah [4], keharusan ini berdasarkan ‘Maslahat Mursalat' dan tindakan mengenakan gantirugi ini adalah harus bagi menyekat orang ramai mempermainkan bank-bank Islam dengan sengaja tidak membayar atau melewatkan bayaran walaupun ketika mempunyai wang. Ia dinamakan mumatil yang disebut oleh Nabi SAW:
مَطْلُ الغَنِيُ ظُلْمٌ
Ertinya: "Penangguhan sengaja (daripada membayar hutang) oleh orang yang berkemampuan adalah satu kezaliman." (Riwayat Al- Bukhari, no 2167, 2/799)
لَيُّ الْوَاجِد يُحِلُّ عِرْضَهُ وَعُقُوبَتَهُ
Erti : bagi orang berkemampuan dan melewatkkan hutang adalah zalim, halal ke atas mereka hukuman (Abu Daud, An-Nasaie, Ibn Hibban : Sohih)
Kedua-dua hadis ini menunjukkan haram hukumnya melewatkan pembayaran hutang bagi mereka yang ada kemampuan. Malah terdapat riwayat silam yang menunjukkan pemerintah Islam pernah mengurung individu sebegini sehinggalah ia membayar hutangnya. [5] Ringkasnya, hukuman seperti disenarai hitamkan nama, dirampas passportnya, dirampas hartanya dan dijual untuk menyelesaikan hutang adalah DIBENARKAN oleh Islam.
Namun, untuk bertindak sedemikian dalam konteks semasa, sudah tentu ada di antaranya yang sesuai manakala tidak sebahagian lainnya, justeru itu memandangkan lemahnya sifat amanah manusia untuk membayar hutang mereka dan bagi menyekat mudarat besar daripada berlaku kepada bank-bank Islam dan juga pemiutang, apabila bayaran ansuran yang dijanjikan tidak dilangsaikan pada waktunya, ta'widh (gantirugi) akan dikenakan.
BEBERAPA ALTERNATIF
Sebahagian ulama mengharuskan jumlah gantirugi ini dibayar dalam bentuk wang, digunakan oleh bank dengan syarat ianya adalah jumlah sebenar kerugian. Sebarang wang lebih daripada kerugian sebenar tidak boleh digunakan oleh bank-bank Islam. [6]
Manakala sebahagian besar ulama lain berpendapat bahawa ta'widh yang dikenakan oleh bank-bank Islam ini (menurut majoriti ulama sedunia) adalah TIDAK BOLEH DIMASUKKAN di dalam pendapatan bank Islam, malah mestilah diagihkan untuk tujuan kebajikan kepada orang miskin dan faqir sahaja. Inilah yang dilakukan oleh kebanyakan bank-bank Islam di Malaysia
Bagi beberapa buah bank Islam, mereka lebih cenderung untuk menuruti keputusan majoriti ahli Majlis Kesatuan Fiqh Sedunia. Konsep yang digunakan adalah konsep sedekahkan duit (ta'widh atau compensation) kepada faqir miskin adalah dibuat atas konsep Iltizam at-tabarru' yang disebut di dalam kitab fiqh mazhab Maliki.Sebagaimana kata Imam Malik :
وَالمعْرُوفُ مَنْ أَوْجَبَهُ عَلىَ نَفْسِِهِ لَزِمَهُ
Erti : Dan perkara yang baik (ma'ruf) sesiapa yang mewajibkan (berjanji) untuk ditunaikannya, wajib (lazim) untuknya menunaikannya" [7]
Ia bermakna semua pelanggan memberikan komitmen jika ia gagal memenuhi janji untuk membuat pembayaran hutangnya kepada bank dalam waktu yang telah dipersetujui. Ia berjanji akan bersedekah dan melantik pihak bank untuk mengagihkannya.
Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa terdapat beberapa buah bank Islam di Malaysia mengambil pandangan ulama yang lebih ringan, iaitu mereka tidak mengehadkan penggunaan wang ta'widh (compensation) kepada faqir miskin sahaja. Justeru, sebahagian bank Islam mengambilnya dan digunakan untuk kegunaan mereka. Perkara ini mungkin telah disahkan harus oleh majlis penasihat Syariah masing-masing.
Justeru, ia telah selesai dengan ijtihad majlis penasihat Syariah masing-masing.
Di kebanyakan bank Islam, jabatan Syariah dan majlis penasihat Syariah yang akan memantau. Malah keputusan majlis penasihat Syariah juga mewajibkan akaun yang diasingkan bagi tujuan ini. Hasilnya, setiap jumlah yang terkumpul daripada ta'widh akan terus masuk ke akaun khas seperti charity contohnya. Ia pula tidak boleh disalurkan kepada charity kecuali setelah disahkan layak oleh majlis penasihat Syariah. Ini bagi mengelakkan berlakunya pilih kasih dan kronisme dalam pembahagian.
Kesimpulannya, isu ini dibawa ke persidangan ilmuan Syariah di peringkat Malaysia khususnya Bank Negara Malaysia. Hasilnya keputusannya menyebut, bagi menyekat kecuaian sengaja ini, maka diharuskan mengenakan denda ta'widh dengan syarat ia adalah kerugian sebenar yang ditanggung oleh pembiaya. Penentuan kadar rugi ini akan ditentukan oleh Bank Negara Malaysia. [8] Selain itu kadarnya adalah 1 peratus sahaja dan ia tidak bersifat compounding. Dan jauh lebih rendah berbadning kadar denda yang dikenakan oleh bank konvensional.
Pembaca perlu faham bahawa penalti yang dikenakan oleh bank konvensional adalah compounding iaitu penalti ini akan dimasukkan dalam jumlah pinjaman dan jika penalti dikenakan lagi, maka peratusan penalti akan disandarkan kepada jumlah pinjaman asal yang ditambahkan dengan penalty. Ia amat pedih dan perit serta zalim dan menindas.
Malangnya ia kerap tidak dimasukkan dalam KIRAAN apabila perbandingan cuba dibuat oleh Islam terhadap produk bank-bank Islam dan konvensional. Hasilnya, mereka berterusan berada dalam kegelapan.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
21 Shaaban 1430 H
12 Ogos 2009
[1] InshaAllah saya akan cuba menghuraikan hal ini kemudian.
[2] Hadis ini mempunyai beberapa lafaz yang lain namun dengan maksud yang sangat hampir. Dianggap sohih oleh Ibn Hibban & Ibn Khuzaimah. Syeikh Arnaout berkata : Sanadnya sohih di atas syarat imam Muslim.
[3] Al-Jami' Li Ahkam Al-Quran, Muhammad Bin Ahmad Al-Qurtubi, Dar al-Fikr, Syria, Jil 3, hlm 324
[4] Musykilat ad-Duyun al- Mutaakhirat, Dr. Muhyidin Al-Qurra Daghi, International Syariah Dialogue, BNM, 8 Nov 2006
[5] Subul as-Salam, Al-Son'ani, 2/78
[6] Kebanyakan resolusi majlis penasihat bank-bank Islam tempatan di Malaysia
[7] Al-Mudawwanah al-Kubra, di petik dari Fath Al-Ali liMalik, 1/219
[8] Resolusi Syariah, BNM, hlm 40
No comments:
Post a Comment