kedai aku

Tuesday, September 11, 2012

ZAKAT EMAS




Zakat adalah salah satu daripada rukun Islam yang lima. Ianya diwajibkan ke atas tiap-tiap orang Islam yang cukup syarat-syaratnya. Rukun yang lain ialah Syahadah, Sembahyang, Puasa dan Haji ke Mekah. Zakat adalah diwajibkan ke atas Muslim yang layak untuk membantu golongan-golongan yang memerlukan bantuan. Zakat mula diwajibkan pada tahun kedua Hijrah.

Emas adalah jenis-jenis logam yang diwajibkan zakat. Kewajipan zakat ke atas logam ini dijelaskan dalam firman Allah S.W.T. bermaksud:
“Dan mereka yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah (mengeluarkan zakat) maka khabarkanlah kepada mereka dengan azab yang pedih, pada hari emas dan perak dibakar di dalam neraka jahanam lalu diselar dengannya dahi dan rusuk mereka dan belakang mereka seraya dikatakan kepada mereka inilah harta yang kamu simpan selama ini buat dirimu, maka rasailah balasan apa yang kamu simpan dahulu”.


At- Taubah; ayat 34-35

NISAB DAN KADAR ZAKAT EMAS

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :
“Tiada wajib atas engkau sesuatu (pada emas) sehingga engkau memiliki 20 dinar (85gram). Apabila ada pada engkau 20 dinar dan cukup haul, maka wajiblah zakat padanya 1/2 dinar (2.5%). Maka sekiranya lebih dari 20 dinar, hendaklah dihisab menurut lebihannya itu 2.5% daripada keseluruhannya”.
(Riwayat Abu Daud)

Nisab bagi emas ialah 85gm atau 20 miskal / dinar atau 25 mayam.

Apabila seseorang memiliki emas menyamai nisab semasa atau lebih dan telah cukup haul (setahun) ia wajib mengeluarkan zakat. Ulama sepakat mengatakan bahawa emas apabila cukup 20 misqal, maka wajib dikenakan zakat. Kadar zakat ialah rubu’ al ‘usyur iaitu satu perempat puluh (1/40) atau dua setengah peratus (2.5%).

Zakat emas dikira dalam dua keadaan.

1. Emas yang tidak dipakai (disimpan). Emas yang tidak digunakan atau dipakai walaupun sekali dalam tempoh setahun. Jika nilai emas tersebut menyamai atau melebihi 85gram (nisab), maka wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5%.

Contoh:
2.5% x nilai emas yang disimpan (jika melebihi nisab)
Contoh : RM6,000 x 2.5%
Jumlah zakat = RM 150

2. Emas yang dipakai
Emas yang tidak dipakai bermaksud emas yang tidak digunakan atau dipakai walaupun sekali dalam tempoh setahun. Emas yang dipakai (sebagai perhiasan) walaupun sekali dalam tempoh setahun tidak wajib dikeluarkan zakat ke atasnya. Tetapi jika ianya melebihi ‘uruf’ (nilai kebiasaan pemakaian masyarakat setempat), maka ia diwajibkan zakat dengan kadar 2.5% atas lebihan dari nilai uruf. Nilai yang diambilkira adalah nilai semasa emas sahaja iaitu tidak termasuk batu permata.
Nilai uruf bagi negeri-negeri di Malaysia.

Berikut adalah nilai uruf bagi negeri-negeri di Malaysia.

Uruf emas bagi negeri Kedah adalah 150 gram.
Uruf emas bagi negeri Perlis adalah 170 gram
Uruf emas bagi negeri Pulau Pinang adalah 165 gram
Uruf emas bagi negeri Melaka adalah RM5000
Uruf emas bagi negeri Johor adalah 850 gram
Uruf emas bagi negeri Sembilan adalah 200 gram
Uruf emas bagi negeri Selangor adalah 800 gram
Uruf emas bagi Wilayah Persekutuan adalah 150 gram
Uruf emas bagi negeri Kelantan : tiada uruf
Uruf emas bagi negeri Terengganu adalah 850 gram
Uruf emas bagi negeri Pahang adalah 200 gram
Uruf emas bagi negeri Perak adalah 500 gram
Uruf emas bagi negeri Sabah adalah RM5000
Uruf emas bagi negeri Sarawak adalah 775 gram
(Sumber: Laporan kajian penetapan uruf emas pakai negeri Pahang Darul Makmur tahun 2008) (klik)

Contoh:
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menetapkan kadar uruf adalah 150 gram emas.
Berat Emas yang dipakai = 250 gram
Uruf Emas = 150g ram

Berat Emas yang layak dizakat = 250 gram – 150 gram = 100gram
Zakat yang wajib dibayar = 2.5% x (100 gram x harga semasa)
= 2.5% x (100 gram x RM 77.16)
= RM 192.9

Soalan-soalan lazim yang perlu diketahui mengenai zakat emas:

1. Soalan: Sekiranya saya telah menggadaikan sejumlah emas perhiasan ke dalam skim Ar-Rahn, perlukah saya membayar zakat untuk emas yang digadaikan itu?
Jawapan: Tidak wajib, kerana tidak sempurna milik

2. Soalan: Adakah emas yang disimpan di dalam bank (safe deposit box) perlu dizakatkan?
Jawapan: Ya, wajib dizakatkan dan dikira sebagai emas yang disimpan.

3. Soalan: Saya memiliki beberapa utas rantai emas tetapi saya gadaikan untuk membuat modal perniagaan. Adakah wajib membayar zakat bagi rantai emas yang digadaikan itu?
Jawapan: Tidak wajib dizakatkan kecuali setelah ditebus semula. Kiraan haul bermula pada hari ditebus.

4. Soalan: Ibu saya mempunyai emas yang sudah cukup syarat untuk dizakatkan. Tetapi beliau meninggal dunia sebelum sempat mengeluarkan zakat. Siapakah yang bertanggungjawab membayar zakat tersebut? Daripada sumber mana yang perlu digunakan untuk membayar zakat tersebut?
Jawapan: Waris perlulah melunaskan bayaran zakat tersebut dengan menggunakan duit si mati sebelum harta peninggalannya di faraid.

5. Soalan: Adakah saya wajib membayar zakat emas perhiasan yang telah disimpan dan diwarisi daripada nenek?
Jawapan: Ya, emas perhiasan yang disimpan dan diwarisi wajib dikeluarkan zakat sekiranya cukup syarat.

6. Soalan: Saya ada emas yang dipakai. Ia tidak cukup untuk dikeluarkan zakat. Tetapi jika dicampurkan dengan emas yang digadai, cukup untuk bayar zakat. Persoalannya, wajib kah saya membayar zakat?
Jawapan: Tidak wajib dikenakan zakat kerana tidak cukup nisab dan emas yang digadai tidak sempurna milik.


No comments:

Post a Comment