Abu Bakar As-Siddiq berjalan beriringan dengan Umar Al-Khattab dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing. Dalam perjalanan, mereka bertemu seorang lelaki.
sekadar gambar hiasan |
"Wahai tuan, sudilah memakan roti pemberian saya ini," kata lelaki itu dengan penuh hormat. Abu Bakar As-Siddiq mengambil roti itu lalu memakannya. Lelaki itu berasa hairan lalu bertanya, "Biasanya tiap kali saya memberi makanan kepada tuan, pasti tuan bertanya terlebih dahulu dari manakah saya dapat makanan itu. Tetapi mengapa kali ini tuan tidak bertanya dan terus memakannya?"
Barulah Abu Bakar As-Siddiq tersedar dari kesilapannya lalu bertanya, "Dari manakah kamu mendapat makanan ini?" "Sebelum memeluk Islam, saya menjadi tukang tilik nasib. Ada antara pelanggan saya yang berhutang kerana tak mampu membayarnya. Dalam perjalanan ke sini tadi, saya berjumpa dengan salah seorang dari mereka yang pernah berhutang lalu diberinya makanan itu. Lantas saya memberikannya kepada tuan," jawab lelaki itu.
"Kamu hampir sahaja mencelakakan saya!" kata Abu Bakar As-Siddiq dengan marah. Kemudian beliau memasukkan jarinya ke dalam mulut. Umar Al-Khattab berasa hairan lalu bertanya, "Mengapa dengan kamu wahai Abu Bakar?" "Saya hendak memuntahkan makanan yang saya makan tadi," jawab Abu Bakar As-Siddiq. "Kamu tidak akan muntah kecuali dengan meminum air," tegur Umar Al-Khattab. Maka Abu Bakar As-Siddiq segera meminum air dengan banyak sehingga beliau termuntah dan makanan yang dimakannya terkeluar.
"Mengapa kamu sanggup melakukannya hanya kerana tertelan sedikit makanan?" tanya Umar Al-Khattab lagi. "Sekiranya saya tidak termuntah tadi, saya sanggup mengeluarkannya bersama nyawa saya," jawab Abu Bakar As-Siddiq.
~Khalifah-khalifah Yang Benar~
No comments:
Post a Comment