DEFINISI SYIRIK
Adapun syirik itu ertinya adalah "mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain" atau dalam lain perkataannya ialah "menduakan-Nya".
Salah satu contoh syirik ialah mengatakan bahawa nabi 'Isa as itu sebagai anak Allah. Syirik termasuk di dalam perkara2 yang membatalkan iman.
PEMBAHAGIAN SYIRIK.
a) Syirik Jali (Nyata).
Syirik Jali adalah mempersekutukan Allah secara terang-terangan.Misalnya ialah perbuatan menyembah berhala dan memohon sesuatu daripada sesuatu yang dianggap mempunyai kuasa; seperti memuja kubur yang dianggap keramat dengan tujuan hendak meminta nombor ekor.Lazimnya perkara seperti ini berlaku di kalangan orang-orang yang kurang berpendidikan agama.
b) Syirik Khafi (Tersembunyi).
Syirik Khafi pula adalah mempersekutukan Allah secara senyap2, iaitu tanpa diketahui oleh orang lain dan boleh juga terjadi tanpa disedari oleh orang lain serta diri sendiri; melainkan hanya Allah sajalah yang mengetahuinya.
Contoh syirik khafi yang disedari ialah:
1) Percaya kepada tangkal yang kononnya boleh membawa berkat
2) Percaya kepada bintang 12 untuk menentukan nasib (horoskop/ zodiak)
Contoh syirik yang hanya diketahui oleh Allah saja, ya'ni tanpa pengetahuan diri sendiri/ orang lain ialah:
3) Perasaan 'ujub, iaitu merasa megah dengan diri sendiri,(misalnya merasa bangga dengan kepandaian yang dimiliki dan menganggap bahawa kepandaian itu adalah hak diri sendiri yang mutlaq, walhal yang sebenarnya ia adalah milik Allah)
4) Perasaan riya', iaitu ingin dipuji, (biasanya terjadi apabila kita melakukan sesuatu perkara hanya semata2 untuk menuntut penghargaan daripada manusia, dan bukannya melakukannya kerana mengharapkan keredhaan Allah)
5) Perasaan takabur, iaitu merasa diri itu besar dan hebat dan tidak dapat dikalahkan,(misalnya merasa diri kita hebat dengan penciptaan kapal terbang dan dapat terbang untuk ke destinasi yang jauh, walhal kita tidak menyedari bahawa burung itu walaupun tidak ber'aqal, tetapi sudah terlebih dahulu pandai terbang daripada manusia)
6) Perasaan sum'ah, iaitu mahu kelebihan/kebaikan diri diketahui oleh orang lain,(misalnya berpura2 melakukan kerja 'amal , tetapi di dalam hati sebenarnya ingin menunjukkan kepada orang lain bahawa dia itu lebih baik daripada yang lain)
Pernah diriwayatkan, bahawasanya nabi besar kita, Muhammad saw pernah bersabda mengenai betapa bahayanya syirik 'khafi' itu: "..bahawasanya syirik khafi itu adalah umpamanya SEEKOR SEMUT HITAM yang berjalan di atas BATU YANG HITAM di waktu MALAM YANG KELAM.." Begitulah yang diumpamakan oleh Rasullullah saw , bahawa betapa bahayanya bahana syirik khafi itu terhadap kita, dan hanya Allah sajalah yang lebih 'alim ke atasnya..
No comments:
Post a Comment